Thursday 28 August 2014

TUGASAN EDU 3083

1.0       PENGENALAN

            Perkembangan arus globalisasi telah menjadikan profession keguruan turut mengalami perubahan. Semakin hari bidang keguruan menjadi semakin mencabar. Pada era ini tugasan sebagai seorang guru bukan sahaja terhad kepada mengajar dan mendidik sahaja namun bidang tugas sebagai seorang guru semakin meluas selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
            Profesion keguruan merupakan salah satu bentuk perkhidmatan sosial yang mencabar dan sering kali menjadi tumpuan media massa dan juga masyarakat yang memberi tanggapan dan dakwaan yang kurang menyenangkan mengenai profesion ini. Daripada kaca mata sesetengah pihak, sekolah diibaratkan sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas yang ada kalanya bentuk tugasan ini sebagai bukan satu tugasan yang terancang tetapi sesuatu yang tidak terduga. Hal ini akan menyebabkan reputasi profesion perguruan yang selama ini sentiasa dipandang tinggi dan mulia akan terjejas.
            Selain itu, bidang keguruan tidak pernah sunyi daripada isu-isu yang melibatkan warga guru itu sendiri. Malahan bidang ini juga dilihat sebagai pilihan terakhir bagi sesetengah orang. Sehingga terdapat graduan yang ditanya tentang pemilihan kerjaya mereka, ramai yang memberikan jawapan yang hampir sama iaitu bidang keguruan adalah pilihan terakhir yang akan dipilih oleh mereka bagi mengelakkan diri daripada menganggur. Bidang keguruan sering dilihat oleh masyarakat sebagai profesion kelas pertengahan yang telah jauh ditinggalkan oleh profesion-profesion yang lain seperti kedoktoran, perundangan, kejuruteraan mahupun bidang perakaunan.
            Masyarakat menganggap tugasan sebagai seorang guru bukanlah suatu tugasan yang sukar, dan mereka percaya bahawa sesiapa sahaja boleh menggantikan tugasan seorang guru. Mereka berpendapat tugas sebagai guru hanyalah masuk ke kelas, dan menyampaikan ilmu kepada murid. Namun realitinya tugasan bukanlah seperti yang mereka anggapkan. Guru perlu mengawal tingkah laku murid yang mempunyai ragam yang berbeza, selain mereka perlu menyampaikan isi pengajaran yang bersesuaian dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid.

            Di samping itu terdapat juga pendapat yang beranggapan bahawa bidang tugas guru tertumpu kepada bidang perkeranian seperti menaip dan mengisi borang yang berkaitan dengan maklumat murid. Bebanan kerja ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik oleh guru akan mengakibatkan guru-guru menghadapi tekanan kerja yang akhirnya memberi kesan yang buruk kepada guru, murid-murid dan juga pihak sekolah. Oleh itu, semua pihak harus membuka mata bagi melihat profesion perguruan bukanlah satu pilihan terakhir yang terpaksa dipilih bagi mengelakkan diri daripada menganggur.
            Guru merupakan individu yang menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid di sekolah. Bagi memastikan murid-murid mendapatkan ilmu yang perlu mereka kuasai, guru-guru perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran, kaedah serta teknik-teknik pengajaran yang bersesuaian dengan tahap murid-murid mereka agar murid-murid mampu mengembangkan kebolehan yang terpendam di dalam diri mereka. Oleh itu, dari semasa ke semasa guru perlu meningkatkan profesionalisme diri masing-masing.
            Guru perlu mengamalkan sikap profesional dalam profesion mereka. Sebagai seorang yang profesional, mereka harus mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, baik hati dan sentiasa bersifat tenang walau dalam apa keadaan sekalipun. Oleh itu, guru perlulah mengaplikasikan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru yang telah dipelajari semasa berada di Institut pendidikan guru agar mereka mampu menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Hal ini turut mengandungi kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.
            Sebagai ibu bapa kedua kepada murid di sekolah, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada anak didiknya kerana segala tingkah laku guru sentiasa diperhatikan oleh murid-murid dan secara tidak langsung tingkah laku positif ini akan diterapkan ke dalam diri murid-murid. Sekiranya guru gagal mempamerkan nilai-nilai serta sahsiah yang positif sudah pasti murid-murid akan mengikut perlakuan yang dipamerkan oleh guru.
           



2.0       ISU KEGURUAN YANG DIPILIH : BEBAN TUGAS GURU
            Saya telah memilih satu artikel yang saya petik daripada laman web Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) (rujuk lampiran) yang bertajuk “Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru – Muhyiddin . Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara. Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mengajar.
            Daripada isu artikel yang saya pilih ini, saya ingin mengupas dengan lebih lanjut lagi mengenai isu beban tugas guru yang semakin meruncing dan seolah-olah isi ini tiada kesudahannya. Profesionalisme guru menurut Hoyle (1980) dalam bukunya Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, adalah sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
            Salah satu isu yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan guru adalah berkaitan dengan isu beban tugas guru. Isu ini bukanlah isu baru namun sehingga kini isu ini masih menjadi topik yang kerap dibincangkan. Buktinya, banyak kali tajuk ataupun isu ini diperkatakan di dada- dada akhbar, juga di alam maya  dan banyak diperdebatkan ketika pembentangan kertas kerja berkaitan isu keguruan. Berikut adalah contoh tajuk-tajuk berita yang memperbincangkan tentang tajuk beban tugas guru.
a.    Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak Arahan – Berita Harian 2 April 2010
b.    Seksa Jadi Cikgu – Berita Harian 1 April 2010
c.    Tokoh Syor Empat Langkah Kurang Beban Tugas Guru – Berita Harian 24 Mei 2010
d.    Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru – Utusan Malaysia 1April 2010
e.    Guru Tidak Perlu Kerja 9 Jam – Utusan Malaysia 21 November 2011
f.     Jawatankuasa Kerja Tangani Isu Beban Guru Sedang Laksana 28 Perakuan-
g.    Muhyiddin – Utusan Malaysia 16 Mei 2012

Rajah 1 :Contoh-contoh keratan akhbar tentang isu beban tugas guru

             Guru dapat didefinisikan sebagai pendidik, pengasuh dan orang yang mengajar. Tugas pula mempunyai definisi iaitu kewajipan sesuatu atau dalam kata lain kerja, tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Beban pula bermaksud jumlah tugas yang perlu dikerjakan oleh proses atau sistem yang mesti dilaksanakan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
            Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan ini, dapat disimpulkan bahawa tugas utama seorang guru ialah mengajar dan mendidik dalam suasana pengajaran dan pembelajaran bersandarkan kepada kewajipan mereka sebagai guru. Walau bagaimanapun, tugas guru saban hari semakin bertambah
            Menurut kajian oleh Mohamad Shukri bin Salleh (1998), beban tugas bermaksud tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Beban tugas ini boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya.
            Tugas dan tanggungjawab guru di sekolah bukan sahaja merangkumi tugas akademik malahan juga tugas bukan akademik. Tugas-tugas akademik merupakan tugas-tugas yang berkait dengan tugas pengajaran dan pembelajaran secara formal sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Tugas akademik hanya dijalankan oleh guru-guru yang berkelayakan dalam bidang-bidang tertentu sahaja. Tugas akademik ini terbahagi kepada tugas akademik rutin harian dan tugas akademik bermusim.
            Tugas bukan akademik merupakan tugas-tugas yang dilakukan oleh guru di sekolah dan tugas ini boleh juga dilakukan oleh mereka yang bukan guru. Tugas bukan akademik adalah tugas yang tidak melibatkan proses pengajaran secara formal. Tugas ini termasuklah tugas-tugas pengekeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Tugas bukan akademik yang dilakukan seharian dinamakan tugas bukan akademik rutin harian dan tugas bukan akademik yang dilakukan mengikut musim dinamakan tugas bukan akademik bermusim.
            Berdasarkan keratan akhbar Berita Harian - Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak Arahan – Berita Harian 2 April 2010, jelas menyatakan seksa menjadi guru kerana guru dikatakan menanggung tugas yang berganda kerana terjadinya ‘arahan dalam arahan’. Dalam artikel ini, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah menyatakan bahawa guru terpaksa akur arahan yang dikeluarkan pihak atasan pada peringkat berbeza itu sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka mengajar.
 Rajah 2 : Keratan akhbar Berita Harian 2  April 2010
            Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel tersebut juga telah mengulas bahawa berdasarkan aduan yang dibuat oleh NUTP, antara tugas guru bukan sahaja meliputi hal pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, malahan juga ada guru yang terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, hal ehwal murid, pentadbiran, pengkeranian serta beberapa kerja tambahan lain. Selain itu, NUTP turut membuat aduan bahawa guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.  
            Tugas-tugas sedemikian sememangnya mendatangkan beban kepada guru kerana telah mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memandang berat isu ini dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru dan mengkaji tahap keseriusan isu beban tugas guru ini.
            Berdasarkan artikel ini, dapat disimpulkan bahawa isu beban tugas guru perlu dipandang serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk masyarakat. Setiap individu perlu mengembleng tenaga dan idea untuk menyelesaikan masalah dan isu ini. Ini kerana, beban tugas yang semakin bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi seorang guru terjejas dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di sekolah.


3.0        HURAIAN  ISU
            Isu beban tugas guru bukanlah perkara baru di dalam negara kita kerana sejak beberapa tahun ini, perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali bermulanya musim persekolahan.
            Laporan kaji selidik yang telah dijalankan pada 1 Jun 2005 menunjukkan bahawa tugas guru meliputi pelbagai bidang, namun tugas yang dijalankan lebih tertumpu kepada tugas pentadbiran. Menurut Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja pentadbiran. 
            Masalah beban tugas guru tidak pernah ada pasang surutnya. Pada 30 Mac 2010, NUTP telah membuat aduan mengenai beban tugas guru. Perjumpaan bersama pihak NUTP dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan dalam Berita Harian, 1 April 2010. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru. Jawatakuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP bertujuan untuk mengenal pasti tahap keseriusan isu dan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
Gambarajah 1: Bebanan tugas seorang guru
            Sehingga hari ini, tugas guru semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan perubahan arus zaman globalisasi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu meluas, tugas guru menjadi semakin mencabar. Guru merasakan tugas mereka semakin berat kerana mereka perlu menjalankan tugas yang tiada kaitan dengan tugas hakiki guru iaitu mendidik seperti tugas pengkeranian yang lebih menjurus kepada tugas pengurusan dan pentadbiran.
            NUTP dalam Berita Harian bertarikh 2 April 2010 mendedahkan guru menanggung beban kerja  berganda apabila terpaksa melakukan tugasan dalam skop yang sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata senario berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa yang sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama. Hal ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Selain agihan guru tidak seimbang antara jenis sekolah berbeza, kakitangan kumpulan sokongan dan pentadbiran mengikut bilangan pelajar dan bukan mengikut beban kerja dalam organisasi sekolah merupakan penyebab beban guru bertambah. Mengikut amalan sekarang, nisbah antara Pembantu Tadbir sekolah dengan pelajar ialah 1:300 iaitu seorang Pembantu Tadbir bersamaan 300 pelajar. Akibat pembahagian guru dan Pembantu Tadbir yang tidak realistik, beban kerja guru menjadi semakin bertambah dan ini merupakan salah satu sebab tugas-tugas pengkeranian terpaksa dilakukan oleh guru.
               Bebanan yang melampau dengan pelbagai isu pelajar dan isu berkaitan profession yang perlu dihadapi oleh guru seperti masalah disiplin pelajar, kekurangan guru, kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan boleh menambahkan tekanan guru dan boleh menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berhenti atau bersara awal dari dunia pendidikan.Jika, situasi ini berlarutan dunia pendidikan akan kekurangan tenaga-tenaga kerja yang berpengalaman dalam dunia pendidikan. Bukankah ini suatu fenomena yang merugikan dan memberi impak yang negatif kepada pendidikan negara?
   Selain itu, bebanan tugas yang melampau juga boleh kualiti kerja guru berkurang kerana tidak dapat memberi fokus pada tugasan yang diberikan dengan baik. Tidak dinafikan ada guru yang mampu memberikan kualiti yang baik walaupun dibebani dengan pelbagai tugasan. Namun, hanya segelintir sahaja guru yang mampu melakukan pelbagai tugas dengan baik dalam satu tempoh masa.
4.0        IMPLIKASI ISU BEBAN TUGAS GURU
            Apabila beban tugas guru yang sudah tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya tekanan emosi atau stres. Menurut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat tugasnya sebagai seorang guru. Bagi pendapat saya, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.
            Selain itu, apabila seorang guru itu, mengalami tekanan kerja, kualiti pengajarannya juga turut terjejas dan yang menjadi mangsa adalah murid. Adakah guru menjadi seperti “ kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar?”. Murid-murid berhak mendapat ilmu yang secukupnya daripada guru mereka, namun andai terdapat tugas-tugas yang membebankan tugas utama guru, sudah pasti tumpuan guru terhadap murid akan terjejas. Selain itu, amat dikhuatiri jika guru tidak dapat mengawal emosinya terhadap tingkahlaku anak-anak didiknya, sehingga ada yang memukul atau mengambil tindakankan yang diluar batasan.
            Arumugam (1975) menyatakan punca-punca penting bagi ketegangan dan ketidakpuasan yang dialami oleh guru-guru di Malaysia adalah tugas-tugas pengkeranian yang banyak. Walaupun guru-guru sebenarnya menolak tugas pengkeranian yang diberikan kepada mereka, mereka terpaksa menerima dan melaksanakannya.
            Beban tugas guru yang terpaksa dipikul ini akan menyebabkan para guru mengalami ketegangan seperti pendapat yang dikemukakan oleh Payne & Furnham (1987) iaitu di antara punca yang kerap berlakunya stress di kalangan guru ialah beban tugas bukan mengajar. Ketegangan yang tinggi di kalangan guru boleh menyebabkan rasa kecewa, agresif, bimbang dan mengurangkan prestasi kerja. Coldicot (1985) menjelaskan ketegangan yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit dan kemerosotan dalam prestasi kerja. Justeru, nilai kepimpinan yang ada dalam diri seseorang guru itu kadangkala menjadi bercelaru dan tidak konsisten dan menjadikan reputasi seseorang guru dipandang rendah.
            Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal dalam akhbar KOSMO, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru. Tekanan jiwa ini boleh menyebabkan seseorang guru itu hilang kawalan diri. Saya merasakan bahawa tindak tanduk seseorang guru yang kadang kala tidak masuk akal seperti menyuruh murid makan rumput di padang adalah implikasi daripada tekanan jiwa. Jelaslah bebanan kerja yang melampau boleh menyebabkan nilai kepimpinan dan keprofesionalan guru itu akan terjejas. Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang dan penyakit kronik ini sudah pasti akan menyebabkan prestasi pengajaran guru akan terjejas.

      5.0             CADANGAN MENANGANI ISU BEBAN TUGAS GURU
            Setiap perakuan yang telah dijalankan oleh pihak KPM dapat mengurangkan beban tugas guru. Umpamanya, rungutan para guru berkaitan tidak cukup rehat kerana terpaksa bertugas setiap sabtu atau hari minggu. Oleh itu, dengan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan melegakan para guru kerana guru bukan sahaja mempunyai tugas di sekolah malahan juga perlu menguruskan keluarga memerlukan masa bersama keluarga masing-masing.
            Pada tahun ini iaitu tahun 2014, Jabatan Perkhidmatan Awam telah melaksanakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk Kementerian Pendidikan Malaysia. Negeri Kedah dan Melaka telah dipilih sebagai negeri rintis untuk melaksanakan program Pemantapan Profession Guru (PPG). Di negeri Kedah, tiga buah daerah telah dipilih untuk menjalankan projek rintis ini iaitu Kulim, Pulau Langkawi dan Kubang Pasu. Setiap sekolah akan dibekalkan seoran Pembantu Tadbir (N17) dan seorang Juruteknik Komputer ( FT17) untuk membantu guru-guru bagi meringankan tugas pekeranian guru-guru. Jika program ini berjaya, program ini akan dilancarkan ke seluruh negara.
            Tugas perkeranian merupakan salah satu beban tugas yang paling besar yang perlu ditangani oleh guru. Oleh itu, dengan pertambahan kakitangan Pembantu Tadbir merupakan cadangan yang amat baik dan disambut lega oleh pelbagai pihak. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 Mei 2012, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatamn Awam bagi memperluas penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah bawah kementerian.
            Pihak KPM juga telah mengeluarkan surat siaran berkaitan pelaksanaan perakuan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2012. Pihak KPM telah melaksanakan peraturan dan perakuan berhubung mengurangkan bilangan ujian dan pelaksanaan peperiksaan setara di sekolah. Ini bermaksud pihak KPM telah memutuskan bahawa mulai tahun 2012, Bahagian-Bahagian KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah hanya dibenarkan untuk menyelaras dan melaksanakan satu peperiksaan setara sahaja sama ada bagi Peperiksaan Percubaan atau Peperiksaan Akhir Tahun. Pelaksanaan peperiksaan setara ini akan dimansuhkan bermula pada 1 Januari 2013. Pihak sekolah tidak dibenarkan untuk menyelaras jadual (setara) bagi ujian formatif. Untuk itu, guru-guru boleh melaksanakan ujian formatif mengikut jadual waktu pengajaran dan pembelajaran masing-masing.
            Selain itu, pihak KPM turut menyediakan garis panduan penglibatan guru dalam aktiviti anjuran KPM. Garis panduan tersebut menetapkan bahawa pentadbir sekolah hendaklah mengagihkan tugas dan tanggungjawab kepada semua guru secara seimbang bagi mengelakkan penglibatan guru yang sama dalam aktiviti yang dianjurkan.
             Bagi mengatasi bilik darjah yang mengandungi terlalu ramai murid, kalangan guru menyokong syor menempatkan dua guru dalam kelas bagi meringankan beban tugas guru. Ini bersesuaian dengan saranan pihak lain yang mahukan pembantu guru di dalam bilik darjah. Perkara ini telah dinyatakan dalam rencana Berita Harian, 15 Disember 2010.
            Bukan itu sahaja, salah satu usaha atau cadangan bagi meringankan beban tugas guru yang semakin bertambah adalah ganjaran atau imbuhan guru ditingkatkan setanding dengan tugas dan amanah yang dipikul. Malahan, pihak KPM telah menyediakan tiga insentif sebagai ganjaran dan penghargaan kepada guru yang komited dalam memikul amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Berita Harian, 20 Mei 2010 menjelaskan mengenai insentif yang digunakan untuk meringankan beban tugas yang dipikul guru serta meningkatkan motivasi kerja guru di sekolah. Antara bentuk insentif adalah kenaikan gred perkhidmatan berdasarkan time-based. Ini bermaksud peningkatan gred dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan.
            Pihak KPM turut menawarkan insentif sebanyak RM 900 hingga RM7500 kepada Pengetua, Guru Besar dan guru sekolah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Ia boleh dianggap sebagai alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih masa kepada guru yang dituntut oleh NUTP namun telah ditolak oleh kerajaan.




6.0       RUMUSAN
            Kesimpulannya guru merupakan insan yang amat berjasa sehinggakan Usman Awang mengungkapkan kata-kata penghargaan beliau kepada guru dalam sajak karangan beliau yang bertajuk “Guru Oh Guru”. Tidak ada permulaan seseorang manusia yang berjaya tanpa kehadiran seorang guru.  Perkataan “ pengorbanan” amat  sinonim dengan guru. Namun, disebalik pengorbanan dan jasa seorang guru, dunia perguruan juga tidak sunyi dengan kehadiran pelbagai isu yang menarik perhatian masyarakat untuk diperkatakan dan wajar diambil perhatian agar kebajikan dan profesionalisme keguruan dapat dipertingkatkan.
             Di era globalisasi yang amat pesat, antara isu yang melingkari bidang perguruan adalah isu beban tugas guru. Hal ini berlaku kerana kepesatan perkembangan teknologi menuntut guru untuk bergerak seiringan dengan perkembangan semasa bagi memastikan apa yang disampaikan sentiasa releven dan murid yang dididik mampu mendepani perkembangan yang berlaku dipersekitaran .Seorang guru tidak boleh menjadi seperti “ katak di bawah tempurung,” yang tidak tahu perkembangan semasa, mengajar dan mendidik pelajar dengan kaedah dan cara yang lama.
             Banyak pihak mengkaji dan memberi pandangan agar isu beban tugas guru mempunyai jalan keluar agar kebajikan guru lebih terjamin seterusnya membolehkan mutu pendidikan dapat dilonjakkan ke tahap yang maksimum.Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan sistem kerja sembilan jam dalam kalangan guru.Sistem kerja sembilan jam agak asing dalam bidang perguruan.Terdapat pelbagai pandangan dari masyarakat baik dari mereka yang terlibat dalam bidang perguruan mahupun yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang ini. Ada yang menyokong perlaksanaan sistem ini dan tidak kurang juga yang tidak menyokong dengan sistem yang diperkenalkan ini.Masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri.
            Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.
            Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.
            Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap masa dan waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan dan mempunyai nilai kepimpinan yang baik.

            Guru-guru yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang lain  semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi. Seperti kata mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut;

                  " Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
                    berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
                    diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
                    itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
                    watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
                    pendidik yang unggul."


7.0       REFLEKSI

            Melalui tugasan subjek Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU3083) ini membolehkan saya mengetahui tentang prinsip-prinsip untuk menjadi seorang guru yang kompeten. Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9.
            Disamping itu juga, saya juga dapat menyelami tentang beban tugas guru yang tidak pernah surut umpama laut yang tidak bertepi. Saya juga seorang guru yang telah lama berada di arena pendidikan ini selama lebih  20 tahun. Jika bercakap tentang beban tugas guru ini seolah-olah persoalan ini tidak pernah selesai. Cadangan yang dilontar dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab. Saya masih ingat ketika saya masih baharu dalam bidang pendidikan, masalah beban tugas guru sering diperdebatkan. Hari demi hari berlalu,musim demi musim berganti namun isu ini masih riuh diperkatakan.
            Suara rintihan atau isu para guru sering kedengaran sejak berpuluh tahun tetapi sehingga kini tidak pernah selesai. Memang tidak dinafikan ada tindakan penyelesaian diambil tetapi ianya banyak yang bersifat ad hoc dan politikal. Berbagai-bagai kajian telah dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri misalnya tentang beban kerja guru tetapi penyelesiannya bukan mereka meringankan beban malah ditambahkan lagi beban kerja hingga lebih berganda. Lebih ironi lagi ialah tidak ada satu badan atau kesatuan pun yang bertindak atau mewakili semua guru. Semoga suatu hari nanti mendung yang menyeliputi awan berarak pergi.

              Terdapat beberapa faktor yang dapat membantu saya menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah pengalaman mengajar saya yang telah melangkaui 17 tahun dapat saya gunakan untuk menyiapkan tugasan ini.Bak kata orang bijak pandai ,guru yang  paling hebat ialah berguru dengan pengalaman. Selain itu, bahan-bahan tutorial yang dibekalkan oleh pensyarah pembimbing  amat  banyak membantu.Tidak dilupakan juga tunjuk ajar dan penerangan daripada pensyarah pembimbing yang telah banyak memudahkan saya untuk menyiapkan tugasan ini. Saya  juga saling berhubung antara rakan-rakan melalui e-mail dan telefon untuk bertukar-tukar maklumat.
              Namun begitu, terdapat juga halangan yang mengganggu dalam menyiapkan proses menyiapkan tugasan ini. Masa merupakan faktor sering menjadi halangan utama. Tugas sebagai pendidik di sekolah yang memerlukan saya memperuntuk banyak masa terhadap anak didik saya. Tambahan pula peperiksaan UPSR yang akan menjelang tidak lama lagi. Kadangkala saya terpaksa pulang lewat dari sekolah kerana terlibat dengan kelas tambahan. Tidak cukup setakat itu, sebagai seorang guru tidak dapat menidakkan akan kesibukan tugas rutin seorang guru. Selain mengajar saya juga perlu sentiasa mengemaskini data Sistem Maklumat Murid(SMM) dan juga Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). Namun begitu, ini bukanlah batu penghalang untuk saya menyiapkan tugasan saya ini.
              Di pengakhiran refleksi ini ingin saya titipkan ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah pembimbing EDU 3083 Encik Ridzuan b Ahmad atas bimbingan serta tunjuk ajar beliau yang banyak memberi bimbingan dan suntikan motivasi sehingga dapat saya menyudahkan tugasan ini. Tidak dilupakan juga rakan-rakan seperjuangan yang tidak lokek untuk berkolaborasi dan sudi meluangkan masa untuk berbincang dan berkongsi maklumat. Juga buat keluarga tersayang yang sentiasa memahami diri saya yang ada kalanya sibuk dengan tugasan. Semoga kalian diberkati oleh Yang Maha Esa.





BIBLIOGRAFI


Kamaruddin, K. (2007). Tekanan Kerja di Kalangan Guru Sekolah Menengah. Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohamad, J. (2003). Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur: Leeds Publications.
Mustafa, S. I. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional. Puchong,Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Razali, M. F. (2010). Beban Tugas Guru Cahaya Menanti di Hujung Terowong. Kuala Lumpur: Pendidik Sdn Bhd.
Razali, M. F. (2010). Tugas Rencam Bebankan Guru. Kuala Lumpur: Pendidik Sdn Bhd.


Internet
http://mindamurabbi.blogspot.com/2012/09/beban-tugas-guru.html
http://www.nutp.org/new/ms/node/43
http://www.scribd.com/doc/163397547/Isu-Tekanan-Emosi-Guru-Akibat-Bebanan-Kerja

Laman Blog
http://ppgipgktbbm3.blogspot.com/











Thursday 4 October 2012

Penutup


Langkah 3 : Contoh Ayat Tunggal dan Majmuk


a . Ayat Tunggal

1. Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbut.
2. Namun dari dekat ia kelihatan seperti asap putih.
3.Dilihat dari jauh, jerebu kelihatan seperti asap putih.
4.Ini menyebabkan pelepasan asap putih dapat dikurangkan.

b. Ayat Majmuk

1. Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah ,debu dan asap terkumpul pada cuaca kering.
2.Orang ramai dinasihatkan memakai topeng muka ketika keluar rumah.
3.Orang ramai boleh berkongsi kenderaan  untuk ke tempat kerja atau menaiki kenderaan awam.
4.Orang ramai perlu mempunyai tanggungjawab  untuk untuk memelihara alam sekitar .

Punca ,Kesan dan Cara Mengatasi Jerebu




Nama  : _________________________________________
Tahun  :5 (   )
Jawab soalan di bawah.

2. Nyatakan punca berlakunya jerebu.
a.______________________________________________
b.______________________________________________
c.______________________________________________
3.Apakah kesan pencemaran udara (jerebu) kepada manusia?
1.___________________________________
2._______________________________________
3.________________________________________

4. Bagaimanakah cara mengatasi masalah jerebu ?
a.___________________________________________
b.___________________________________________

Sunday 9 September 2012

Rancangan Pelajaran Harian



Tahun                        :           5 Anggerik
Tarikh /Masa            :           4 Mac 2012 / 10.45- 11.45 pagi
Bilangan Murid        :           42 orang
Mata Pelajaran        :           Bahasa Melayu
Tajuk                         :           Jerebu
Fokus Utama              :               8.2 Membina dan menulis ayat tunggal dan ayat
                                                      majmuk dalam sesuatu penulisan teks tentang sesuatu                                                        tajuk.
Aras                            :           Aras 1
                                                i.Membina ayat tunggal dan ayat majmuk berdasarkan tajuk.                                                              
Fokus Sampingan   :           5.1 Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan
                                                     intonasi yang betul dan memahami perkara yang dibaca.
Aras                            :           Aras 1
                                                i.   Membaca perkataan ,rangkai kata ,ayat tunggal dan ayat
                                                    majmuk dengan sebutan dan intonasi yang betul.
                                                ii.  Memahami perkataan,rangkai kata dan ayat yang dibaca.
Objektif                       :           Pada akhir pelajaran murid-murid dapat:
                                                i.   Membina 4 ayat tunggal dan 5  ayat majmuk dengan 
                                                      perkataan yang diberi.
                                                ii.  Mengecam dan membaca ayat tunggal dan ayat majmuk 
                                                     yang terdapat dalam petikan.                                                    
Kemahiran Bahasa :           i.  Tulisan
                                                ii. Bacaan
                                                iii. Lisan
Sistem Bahasa         :           i. Tatabahasa
                                                ii.Kata Kerja

Pengisian Kurikulum :        i.    Ilmu  :Pendidikan Islam dan Moral
                                                ii.   Nilai Murni  :kasih sayang,hormat-menghormati
                                                iii.  Peraturan sosiobudaya :Menghormati hak orang lain.
Kemahiran Bernilai                 :   Kecerdasan Pelbagai,Kemahiran Belajar Cara Belajar,
Tambah                                     Kontekstual
Bahan Bantu                        :   Kad petikan,lembaran kerja,klip video
Mengajar

Pengetahuan Sedia            :  Murid-murid pernah membaca berita jerebu di dada akhbar atau 
  Ada                                         menonton berita di televisyen.

Set Induksi
Masa :5 minit
Aktiviti  :
1.Guru menayangkan klip video tentang perbualan mengenai jerebu dan puncanya
2.Guru dan murid bersoal jawab mengenai klip video tersebut.
3.Guru menerangkan bahaya banyak kemusnahan dunia berpunca daripada tangan manusia.
BBM :
Klip video, LCD Projektor

Langkah 1
Masa  : 15 minit
Aktiviti : Membaca Petikan
1)Guru mengedarkan petikan bertajuk “Jerebu ” kepada semua murid dan meminta murid-murid membaca secara senyap.
2) Guru meminta seorang murid membaca teks “    Jerebu ” dengan kuat.
C. Murid-murid lain dikehendaki mendengar dengan teliti dan memahami cerita tersebut.
D.Guru dan murid bersoal jawab tentang petikan yang dibaca.
BBM
1.Kad Petikan
KBCB:
-Mendengar dengan cekap
- Bacaan mentalis



-Bacaan mekanis

Langkah 2
Masa  : 10 minit
Aktiviti            : Menyenarai punca jerebu dan kesannya kepada manusia
Langkah pengajaran :
a) Guru mengedarkan kad tugasan kepada murid-murid
b) Murid-murid secara individu mencari punca dan kesan jerebu berdasarkan petikan yang telah dibaca.
c) Murid-murid dipilih secara rawak untuk membacakan jawapan mereka.
d)Murid-murid yang dapat menjawab soalan dengan betul akan diberi hadiah manakala pelajar yang gagal menjawab akan dibetulkan kesalahan itu serta merta.
BBM :
1.Kad petikan 
2. Kad tugasan

Langkah 3
Masa : 15 minit
Aktiviti  : Mengecam ayat tunggal dan ayat majmuk daripada petikan
Langkah Pembelajaran :
a.Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan.
b.Guru memberi penerangan kepada murid-murid tentang tugasan yang diberikan
d. Guru meminta setiap kumpulan melantik seorang ketua,penctat dan pembentang.
e.Murid-murid berbincang dalam kumpulan dan pencatat mencatat ayat-ayat yang diperoleh pada kertas yang disediakan.
c.Guru meminta murid-murid berbincang untuk mencari 4 ayat tunggal dan 4 ayat majmuk daripada petikan yang dibaca.

f.Murid membentang hasil tugasan mereka di hadapan kelas.
Aktiviti bahasa : sumbang saran

Langkah 4
Masa  : 15 minit
Aktiviti            : Membina 4 ayat tunggal dan 4 ayat majmuk
Langkah Pengajaran:
1. Guru mengedarkan  lembaran kerja  kepada murid-murid .
2. Murid-murid diminta untuk membina ayat berdasarkan perkataan yang diberi
3.Guru membantu murid-murid dengan menyenaraikan kata hubung yang boleh boleh digunakan oleh mereka untuk membina ayat majmuk.
4. Murid menyerahkan lembaran kerja yang telah disudahkan.

Langkah 5
Masa :5 minit
Aktiviti  : Penutup
Langkah Pembelajaran :
1.Guru menayangkan klip video nyanyian bertajuk “Hijau”
2.Guru meminta murid-murid menyanyikan lagu tersebut bersama-sama.
BBM :
1.klip video
2.LCD Projektor
TKP :Kinestetik , muzik