1.0 PENGENALAN
Perkembangan arus globalisasi telah
menjadikan profession keguruan turut mengalami perubahan. Semakin hari bidang
keguruan menjadi semakin mencabar. Pada era ini tugasan sebagai seorang guru
bukan sahaja terhad kepada mengajar dan mendidik sahaja namun bidang tugas
sebagai seorang guru semakin meluas selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Profesion keguruan merupakan salah
satu bentuk perkhidmatan sosial yang mencabar dan sering kali menjadi tumpuan
media massa dan juga masyarakat yang memberi tanggapan dan dakwaan yang kurang
menyenangkan mengenai profesion ini. Daripada kaca mata sesetengah pihak,
sekolah diibaratkan sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai
bebanan tugas yang ada kalanya bentuk tugasan ini sebagai bukan satu tugasan
yang terancang tetapi sesuatu yang tidak terduga. Hal ini akan menyebabkan
reputasi profesion perguruan yang selama ini sentiasa dipandang tinggi dan
mulia akan terjejas.
Selain itu, bidang keguruan tidak
pernah sunyi daripada isu-isu yang melibatkan warga guru itu sendiri. Malahan
bidang ini juga dilihat sebagai pilihan terakhir bagi sesetengah orang.
Sehingga terdapat graduan yang ditanya tentang pemilihan kerjaya mereka, ramai
yang memberikan jawapan yang hampir sama iaitu bidang keguruan adalah pilihan
terakhir yang akan dipilih oleh mereka bagi mengelakkan diri daripada
menganggur. Bidang keguruan sering dilihat oleh masyarakat sebagai profesion
kelas pertengahan yang telah jauh ditinggalkan oleh profesion-profesion yang
lain seperti kedoktoran, perundangan, kejuruteraan mahupun bidang perakaunan.
Masyarakat menganggap tugasan
sebagai seorang guru bukanlah suatu tugasan yang sukar, dan mereka percaya
bahawa sesiapa sahaja boleh menggantikan tugasan seorang guru. Mereka
berpendapat tugas sebagai guru hanyalah masuk ke kelas, dan menyampaikan ilmu
kepada murid. Namun realitinya tugasan bukanlah seperti yang mereka anggapkan.
Guru perlu mengawal tingkah laku murid yang mempunyai ragam yang berbeza,
selain mereka perlu menyampaikan isi pengajaran yang bersesuaian dengan tahap
pencapaian dan pemahaman murid.
Di samping itu terdapat juga
pendapat yang beranggapan bahawa bidang tugas guru tertumpu kepada bidang
perkeranian seperti menaip dan mengisi borang yang berkaitan dengan maklumat
murid. Bebanan kerja ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik oleh guru akan
mengakibatkan guru-guru menghadapi tekanan kerja yang akhirnya memberi kesan
yang buruk kepada guru, murid-murid dan juga pihak sekolah. Oleh itu, semua
pihak harus membuka mata bagi melihat profesion perguruan bukanlah satu pilihan
terakhir yang terpaksa dipilih bagi mengelakkan diri daripada menganggur.
Guru merupakan individu yang
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid di sekolah. Bagi memastikan
murid-murid mendapatkan ilmu yang perlu mereka kuasai, guru-guru perlu
melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran, kaedah serta teknik-teknik
pengajaran yang bersesuaian dengan tahap murid-murid mereka agar murid-murid
mampu mengembangkan kebolehan yang terpendam di dalam diri mereka. Oleh itu,
dari semasa ke semasa guru perlu meningkatkan profesionalisme diri
masing-masing.
Guru perlu mengamalkan sikap
profesional dalam profesion mereka. Sebagai seorang yang profesional, mereka
harus mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh
murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, baik
hati dan sentiasa bersifat tenang walau dalam apa keadaan sekalipun. Oleh itu,
guru perlulah mengaplikasikan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru yang telah
dipelajari semasa berada di Institut pendidikan guru agar mereka mampu
menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Hal ini turut mengandungi kefahaman
terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi
kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.
Sebagai ibu bapa kedua kepada murid
di sekolah, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada
anak didiknya kerana segala tingkah laku guru sentiasa diperhatikan oleh
murid-murid dan secara tidak langsung tingkah laku positif ini akan diterapkan
ke dalam diri murid-murid. Sekiranya guru gagal mempamerkan nilai-nilai serta
sahsiah yang positif sudah pasti murid-murid akan mengikut perlakuan yang
dipamerkan oleh guru.
2.0 ISU
KEGURUAN YANG DIPILIH : BEBAN TUGAS GURU
Saya telah memilih satu artikel yang
saya petik daripada laman web Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
Malaysia (NUTP) (rujuk lampiran) yang bertajuk “Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru – Muhyiddin . Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas
akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh
guru sekolah di seluruh negara. Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat selepas
kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri
kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada
tugas mengajar.
Daripada isu artikel yang saya pilih
ini, saya ingin mengupas dengan lebih lanjut lagi mengenai isu beban tugas guru
yang semakin meruncing dan seolah-olah isi ini tiada kesudahannya.
Profesionalisme guru menurut Hoyle (1980) dalam bukunya Asas Kepimpinan dan
Perkembangan Profesional Guru, adalah sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek
yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja,
soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Salah satu isu yang sering menjadi
perdebatan dalam kalangan guru adalah berkaitan dengan isu beban tugas
guru. Isu ini bukanlah isu baru namun sehingga kini isu ini masih menjadi
topik yang kerap dibincangkan. Buktinya, banyak kali tajuk ataupun isu ini
diperkatakan di dada- dada akhbar, juga di alam maya dan banyak
diperdebatkan ketika pembentangan kertas kerja berkaitan isu keguruan. Berikut
adalah contoh tajuk-tajuk berita yang memperbincangkan tentang tajuk beban
tugas guru.
a. Tugas
Guru Bertambah Akibat Banyak Arahan – Berita Harian 2 April 2010
b. Seksa
Jadi Cikgu – Berita Harian 1 April 2010
c. Tokoh
Syor Empat Langkah Kurang Beban Tugas Guru – Berita Harian 24 Mei 2010
d. Tubuh
Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru – Utusan Malaysia 1April 2010
e. Guru
Tidak Perlu Kerja 9 Jam – Utusan Malaysia 21 November 2011
f. Jawatankuasa
Kerja Tangani Isu Beban Guru Sedang Laksana 28 Perakuan-
g. Muhyiddin
– Utusan Malaysia 16 Mei 2012

Guru dapat didefinisikan sebagai pendidik,
pengasuh dan orang yang mengajar. Tugas pula mempunyai definisi iaitu kewajipan
sesuatu atau dalam kata lain kerja, tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.
Beban pula bermaksud jumlah tugas yang perlu dikerjakan oleh proses atau sistem
yang mesti dilaksanakan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
Berdasarkan definisi yang telah
dinyatakan ini, dapat disimpulkan bahawa tugas utama seorang guru ialah
mengajar dan mendidik dalam suasana pengajaran dan pembelajaran bersandarkan
kepada kewajipan mereka sebagai guru. Walau bagaimanapun, tugas guru saban hari
semakin bertambah
Menurut kajian oleh Mohamad Shukri
bin Salleh (1998), beban tugas bermaksud tanggungjawab yang mesti dipikul
dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah
mahupun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Beban
tugas ini boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk
menyelesaikannya.
Tugas dan tanggungjawab guru di
sekolah bukan sahaja merangkumi tugas akademik malahan juga tugas bukan
akademik. Tugas-tugas akademik merupakan tugas-tugas yang berkait dengan tugas
pengajaran dan pembelajaran secara formal sama ada di dalam atau luar bilik
darjah. Tugas akademik hanya dijalankan oleh guru-guru yang berkelayakan dalam
bidang-bidang tertentu sahaja. Tugas akademik ini terbahagi kepada tugas
akademik rutin harian dan tugas akademik bermusim.
Tugas bukan akademik merupakan
tugas-tugas yang dilakukan oleh guru di sekolah dan tugas ini boleh juga
dilakukan oleh mereka yang bukan guru. Tugas bukan akademik adalah tugas yang
tidak melibatkan proses pengajaran secara formal. Tugas ini termasuklah
tugas-tugas pengekeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Tugas bukan
akademik yang dilakukan seharian dinamakan tugas bukan akademik rutin harian
dan tugas bukan akademik yang dilakukan mengikut musim dinamakan tugas bukan
akademik bermusim.
Berdasarkan keratan akhbar Berita Harian - Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak
Arahan – Berita Harian 2 April 2010, jelas menyatakan seksa menjadi guru kerana
guru dikatakan menanggung tugas yang berganda kerana terjadinya ‘arahan dalam
arahan’. Dalam artikel ini, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) telah menyatakan bahawa guru terpaksa akur arahan yang dikeluarkan pihak
atasan pada peringkat berbeza itu sehingga berlaku pembaziran masa dan
menjejaskan tanggungjawab mereka mengajar.

Rajah
2 : Keratan akhbar Berita Harian 2 April
2010
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel tersebut juga
telah mengulas bahawa berdasarkan aduan yang dibuat oleh NUTP, antara tugas
guru bukan sahaja meliputi hal pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah, malahan juga ada guru yang terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum,
hal ehwal murid, pentadbiran, pengkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.
Selain itu, NUTP turut membuat aduan bahawa guru terpaksa bekerja setiap Sabtu
disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti sedangkan pekeliling yang
dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.
Tugas-tugas sedemikian sememangnya mendatangkan beban kepada guru kerana telah
mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar. Pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia memandang berat isu ini dengan menubuhkan sebuah
jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru dan mengkaji tahap keseriusan
isu beban tugas guru ini.
Berdasarkan artikel ini, dapat disimpulkan bahawa isu beban tugas guru perlu
dipandang serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk
masyarakat. Setiap individu perlu mengembleng tenaga dan idea untuk
menyelesaikan masalah dan isu ini. Ini kerana, beban tugas yang semakin
bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi seorang guru terjejas
dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di sekolah.
3.0 HURAIAN
ISU
Isu beban tugas guru bukanlah
perkara baru di dalam negara kita kerana sejak beberapa tahun ini, perkara ini
telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali bermulanya musim
persekolahan.
Laporan kaji selidik yang telah
dijalankan pada 1 Jun 2005 menunjukkan bahawa tugas guru meliputi pelbagai
bidang, namun tugas yang dijalankan lebih tertumpu kepada tugas pentadbiran.
Menurut Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila
mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja
pentadbiran.
Masalah beban tugas guru tidak
pernah ada pasang surutnya. Pada 30 Mac 2010, NUTP telah membuat aduan mengenai
beban tugas guru. Perjumpaan bersama pihak NUTP dengan Menteri Pelajaran, Tan
Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan dalam Berita Harian, 1 April 2010.
Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan
satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru. Jawatakuasa itu
dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don dan
dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP bertujuan untuk mengenal
pasti tahap keseriusan isu dan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan
mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.

Gambarajah
1: Bebanan tugas seorang guru
Sehingga hari ini, tugas guru
semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan perubahan arus zaman
globalisasi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu
meluas, tugas guru menjadi semakin mencabar. Guru merasakan tugas mereka semakin
berat kerana mereka perlu menjalankan tugas yang tiada kaitan dengan tugas
hakiki guru iaitu mendidik seperti tugas pengkeranian yang lebih menjurus
kepada tugas pengurusan dan pentadbiran.
NUTP dalam Berita Harian bertarikh 2
April 2010 mendedahkan guru menanggung beban kerja berganda apabila
terpaksa melakukan tugasan dalam skop yang sama berulang kali atas arahan pihak
atasan pada peringkat berbeza. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata
senario berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang
mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa yang sama
mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran
pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pelajaran Daerah
(PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama. Hal ini menyebabkan
berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab guru dalam pengajaran dan
pembelajaran.
Selain agihan guru tidak seimbang
antara jenis sekolah berbeza, kakitangan kumpulan sokongan dan pentadbiran
mengikut bilangan pelajar dan bukan mengikut beban kerja dalam organisasi
sekolah merupakan penyebab beban guru bertambah. Mengikut amalan sekarang,
nisbah antara Pembantu Tadbir sekolah dengan pelajar ialah 1:300 iaitu seorang
Pembantu Tadbir bersamaan 300 pelajar. Akibat pembahagian guru dan Pembantu
Tadbir yang tidak realistik, beban kerja guru menjadi semakin bertambah dan ini
merupakan salah satu sebab tugas-tugas pengkeranian terpaksa dilakukan oleh
guru.
Bebanan yang
melampau dengan pelbagai isu pelajar dan isu berkaitan profession yang perlu
dihadapi oleh guru seperti masalah disiplin pelajar, kekurangan guru,
kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan boleh menambahkan
tekanan guru dan boleh menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berhenti atau
bersara awal dari dunia pendidikan.Jika, situasi ini berlarutan dunia
pendidikan akan kekurangan tenaga-tenaga kerja yang berpengalaman dalam dunia
pendidikan. Bukankah ini suatu fenomena yang merugikan dan memberi impak yang
negatif kepada pendidikan negara?
Selain
itu, bebanan tugas yang melampau juga boleh kualiti kerja guru berkurang kerana
tidak dapat memberi fokus pada tugasan yang diberikan dengan baik. Tidak
dinafikan ada guru yang mampu memberikan kualiti yang baik walaupun dibebani
dengan pelbagai tugasan. Namun, hanya segelintir sahaja guru yang mampu
melakukan pelbagai tugas dengan baik dalam satu tempoh masa.
4.0 IMPLIKASI
ISU BEBAN TUGAS GURU
Apabila beban tugas guru yang sudah
tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya tekanan emosi atau stres.
Menurut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru
terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan,
kemarahan dan kemurungan akibat tugasnya sebagai seorang guru. Bagi
pendapat saya, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu
perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.
Selain itu, apabila seorang guru
itu, mengalami tekanan kerja, kualiti pengajarannya juga turut terjejas dan
yang menjadi mangsa adalah murid. Adakah guru menjadi seperti “ kerana seekor
nyamuk, habis kelambu dibakar?”. Murid-murid berhak mendapat ilmu yang
secukupnya daripada guru mereka, namun andai terdapat tugas-tugas yang
membebankan tugas utama guru, sudah pasti tumpuan guru terhadap murid akan
terjejas. Selain itu, amat dikhuatiri jika guru tidak dapat mengawal emosinya
terhadap tingkahlaku anak-anak didiknya, sehingga ada yang memukul atau
mengambil tindakankan yang diluar batasan.
Arumugam (1975) menyatakan
punca-punca penting bagi ketegangan dan ketidakpuasan yang dialami oleh
guru-guru di Malaysia adalah tugas-tugas pengkeranian yang banyak. Walaupun
guru-guru sebenarnya menolak tugas pengkeranian yang diberikan kepada mereka,
mereka terpaksa menerima dan melaksanakannya.
Beban tugas guru yang terpaksa
dipikul ini akan menyebabkan para guru mengalami ketegangan seperti pendapat
yang dikemukakan oleh Payne & Furnham (1987) iaitu di antara punca yang
kerap berlakunya stress di kalangan guru ialah beban tugas bukan mengajar.
Ketegangan yang tinggi di kalangan guru boleh menyebabkan rasa kecewa, agresif,
bimbang dan mengurangkan prestasi kerja. Coldicot (1985) menjelaskan ketegangan
yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit dan kemerosotan dalam prestasi
kerja. Justeru, nilai kepimpinan yang ada dalam diri seseorang guru itu
kadangkala menjadi bercelaru dan tidak konsisten dan menjadikan reputasi
seseorang guru dipandang rendah.
Menurut Pakar Perunding Kanan
Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal
dalam akhbar KOSMO, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan
di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada
mereka terdiri daripada golongan guru. Tekanan jiwa ini boleh menyebabkan
seseorang guru itu hilang kawalan diri. Saya merasakan bahawa tindak tanduk
seseorang guru yang kadang kala tidak masuk akal seperti menyuruh murid makan
rumput di padang adalah implikasi daripada tekanan jiwa. Jelaslah bebanan kerja
yang melampau boleh menyebabkan nilai kepimpinan dan keprofesionalan guru itu
akan terjejas. Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali
ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung,
darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang dan penyakit kronik ini sudah
pasti akan menyebabkan prestasi pengajaran guru akan terjejas.
5.0 CADANGAN
MENANGANI ISU BEBAN TUGAS GURU
Setiap perakuan yang telah
dijalankan oleh pihak KPM dapat mengurangkan beban tugas guru. Umpamanya,
rungutan para guru berkaitan tidak cukup rehat kerana terpaksa bertugas setiap
sabtu atau hari minggu. Oleh itu, dengan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu
secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan melegakan para guru
kerana guru bukan sahaja mempunyai tugas di sekolah malahan juga perlu
menguruskan keluarga memerlukan masa bersama keluarga masing-masing.
Pada tahun ini iaitu tahun 2014,
Jabatan Perkhidmatan Awam telah melaksanakan program Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS) untuk Kementerian Pendidikan Malaysia. Negeri Kedah dan
Melaka telah dipilih sebagai negeri rintis untuk melaksanakan program
Pemantapan Profession Guru (PPG). Di negeri Kedah, tiga buah daerah telah
dipilih untuk menjalankan projek rintis ini iaitu Kulim, Pulau Langkawi dan
Kubang Pasu. Setiap sekolah akan dibekalkan seoran Pembantu Tadbir (N17) dan
seorang Juruteknik Komputer ( FT17) untuk membantu guru-guru bagi meringankan
tugas pekeranian guru-guru. Jika program ini berjaya, program ini akan
dilancarkan ke seluruh negara.
Tugas perkeranian merupakan salah
satu beban tugas yang paling besar yang perlu ditangani oleh guru. Oleh itu,
dengan pertambahan kakitangan Pembantu Tadbir merupakan cadangan yang amat baik
dan disambut lega oleh pelbagai pihak. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan di
dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 Mei 2012, satu cadangan akan dikemukakan
kepada pihak Jabatan Perkhidmatamn Awam bagi memperluas penempatan kakitangan
Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah bawah kementerian.
Pihak KPM juga telah mengeluarkan
surat siaran berkaitan pelaksanaan perakuan Jawatankuasa Khas Menangani Isu
Beban Tugas Guru 2012. Pihak KPM telah melaksanakan peraturan dan perakuan
berhubung mengurangkan bilangan ujian dan pelaksanaan peperiksaan setara di
sekolah. Ini bermaksud pihak KPM telah memutuskan bahawa mulai tahun 2012,
Bahagian-Bahagian KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah
hanya dibenarkan untuk menyelaras dan melaksanakan satu peperiksaan setara
sahaja sama ada bagi Peperiksaan Percubaan atau Peperiksaan Akhir Tahun.
Pelaksanaan peperiksaan setara ini akan dimansuhkan bermula pada 1 Januari
2013. Pihak sekolah tidak dibenarkan untuk menyelaras jadual (setara) bagi
ujian formatif. Untuk itu, guru-guru boleh melaksanakan ujian formatif mengikut
jadual waktu pengajaran dan pembelajaran masing-masing.
Selain itu, pihak KPM turut
menyediakan garis panduan penglibatan guru dalam aktiviti anjuran KPM. Garis
panduan tersebut menetapkan bahawa pentadbir sekolah hendaklah mengagihkan
tugas dan tanggungjawab kepada semua guru secara seimbang bagi mengelakkan
penglibatan guru yang sama dalam aktiviti yang dianjurkan.
Bagi mengatasi bilik darjah yang mengandungi
terlalu ramai murid, kalangan guru menyokong syor menempatkan dua guru dalam
kelas bagi meringankan beban tugas guru. Ini bersesuaian dengan saranan pihak
lain yang mahukan pembantu guru di dalam bilik darjah. Perkara ini telah
dinyatakan dalam rencana Berita Harian, 15 Disember 2010.
Bukan itu sahaja, salah satu usaha atau cadangan bagi meringankan beban tugas
guru yang semakin bertambah adalah ganjaran atau imbuhan guru ditingkatkan
setanding dengan tugas dan amanah yang dipikul. Malahan, pihak KPM telah
menyediakan tiga insentif sebagai ganjaran dan penghargaan kepada guru yang
komited dalam memikul amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat
pendidikan. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Berita Harian, 20 Mei 2010
menjelaskan mengenai insentif yang digunakan untuk meringankan beban tugas yang
dipikul guru serta meningkatkan motivasi kerja guru di sekolah. Antara bentuk
insentif adalah kenaikan gred perkhidmatan berdasarkan time-based. Ini
bermaksud peningkatan gred dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta
kualiti perkhidmatan.
Pihak KPM turut menawarkan insentif sebanyak RM 900 hingga RM7500 kepada
Pengetua, Guru Besar dan guru sekolah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Ia boleh
dianggap sebagai alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih masa
kepada guru yang dituntut oleh NUTP namun telah ditolak oleh kerajaan.
6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya guru merupakan insan
yang amat berjasa sehinggakan Usman Awang mengungkapkan kata-kata penghargaan
beliau kepada guru dalam sajak karangan beliau yang bertajuk “Guru Oh Guru”.
Tidak ada permulaan seseorang manusia yang berjaya tanpa kehadiran seorang
guru. Perkataan “ pengorbanan” amat sinonim dengan guru. Namun,
disebalik pengorbanan dan jasa seorang guru, dunia perguruan juga tidak sunyi
dengan kehadiran pelbagai isu yang menarik perhatian masyarakat untuk
diperkatakan dan wajar diambil perhatian agar kebajikan dan profesionalisme
keguruan dapat dipertingkatkan.
Di era globalisasi yang amat
pesat, antara isu yang melingkari bidang perguruan adalah isu beban tugas guru.
Hal ini berlaku kerana kepesatan perkembangan teknologi menuntut guru untuk
bergerak seiringan dengan perkembangan semasa bagi memastikan apa yang
disampaikan sentiasa releven dan murid yang dididik mampu mendepani
perkembangan yang berlaku dipersekitaran .Seorang guru tidak boleh menjadi seperti “ katak di bawah
tempurung,” yang tidak tahu perkembangan semasa, mengajar dan mendidik pelajar
dengan kaedah dan cara yang lama.
Banyak pihak mengkaji dan
memberi pandangan agar isu beban tugas guru mempunyai jalan keluar agar
kebajikan guru lebih terjamin seterusnya membolehkan mutu pendidikan dapat
dilonjakkan ke tahap yang maksimum.Antara langkah yang telah diambil oleh
kerajaan adalah dengan memperkenalkan sistem kerja sembilan jam dalam kalangan
guru.Sistem kerja sembilan jam agak asing dalam bidang perguruan.Terdapat
pelbagai pandangan dari masyarakat baik dari mereka yang terlibat dalam bidang
perguruan mahupun yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang ini. Ada
yang menyokong perlaksanaan sistem ini dan tidak kurang juga yang tidak
menyokong dengan sistem yang diperkenalkan ini.Masing-masing mempunyai pendapat
dan pandangan yang tersendiri.
Namun, mereka yang kebanyakannya
menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi
sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi
masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak
selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.
Hampir kebanyakan tugas yang
selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru.
Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan
secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks,
inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat
pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.
Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri
kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut
kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi
kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap masa dan waktu. Guru yang
berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di
sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia
belajar dari kesilapan dan kelemahan dan mempunyai nilai kepimpinan yang baik.
Guru-guru yang berfikiran
dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang
lain semata-mata, orang yang optimistik
melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan
meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi. Seperti
kata mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor
Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut;
" Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
pendidik yang unggul."
7.0 REFLEKSI
Melalui tugasan subjek Kepimpinan
dan Perkembangan Profesional Guru (EDU3083) ini membolehkan saya mengetahui
tentang prinsip-prinsip untuk menjadi seorang guru yang kompeten. Profesion
perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang
penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion
perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu
pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang,
peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah
memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke
tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi
Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam
Rancangan Malaysia Ke-9.
Disamping itu juga, saya juga dapat
menyelami tentang beban tugas guru yang tidak pernah surut umpama laut yang
tidak bertepi. Saya juga seorang guru yang telah lama berada di arena
pendidikan ini selama lebih 20 tahun.
Jika bercakap tentang beban tugas guru ini seolah-olah persoalan ini tidak
pernah selesai. Cadangan yang dilontar dipandang sepi oleh pihak yang
bertanggungjawab. Saya masih ingat ketika saya masih baharu dalam bidang
pendidikan, masalah beban tugas guru sering diperdebatkan. Hari demi hari
berlalu,musim demi musim berganti namun isu ini masih riuh diperkatakan.
Suara rintihan atau isu para guru
sering kedengaran sejak berpuluh tahun tetapi sehingga kini tidak pernah
selesai. Memang tidak dinafikan ada tindakan penyelesaian diambil tetapi ianya
banyak yang bersifat ad hoc dan politikal. Berbagai-bagai kajian telah
dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri misalnya tentang beban
kerja guru tetapi penyelesiannya bukan mereka meringankan beban malah
ditambahkan lagi beban kerja hingga lebih berganda. Lebih ironi lagi ialah
tidak ada satu badan atau kesatuan pun yang bertindak atau mewakili semua guru.
Semoga suatu hari nanti mendung yang menyeliputi awan berarak pergi.
Terdapat beberapa faktor yang
dapat membantu saya menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah pengalaman mengajar
saya yang telah melangkaui 17 tahun dapat saya gunakan untuk menyiapkan tugasan
ini.Bak kata orang bijak pandai ,guru yang
paling hebat ialah berguru dengan pengalaman. Selain itu, bahan-bahan
tutorial yang dibekalkan oleh pensyarah pembimbing amat
banyak membantu.Tidak dilupakan juga tunjuk ajar dan penerangan daripada
pensyarah pembimbing yang telah banyak memudahkan saya untuk menyiapkan tugasan
ini. Saya juga saling berhubung antara
rakan-rakan melalui e-mail dan telefon untuk bertukar-tukar maklumat.
Namun begitu, terdapat juga
halangan yang mengganggu dalam menyiapkan proses menyiapkan tugasan ini. Masa
merupakan faktor sering menjadi halangan utama. Tugas sebagai pendidik di
sekolah yang memerlukan saya memperuntuk banyak masa terhadap anak didik saya.
Tambahan pula peperiksaan UPSR yang akan menjelang tidak lama lagi. Kadangkala
saya terpaksa pulang lewat dari sekolah kerana terlibat dengan kelas tambahan.
Tidak cukup setakat itu, sebagai seorang guru tidak dapat menidakkan akan
kesibukan tugas rutin seorang guru. Selain mengajar saya juga perlu sentiasa
mengemaskini data Sistem Maklumat Murid(SMM) dan juga Aplikasi Pangkalan Data
Murid (APDM). Namun begitu, ini bukanlah batu penghalang untuk saya menyiapkan
tugasan saya ini.
Di pengakhiran refleksi ini ingin
saya titipkan ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah
pembimbing EDU 3083 Encik Ridzuan b Ahmad atas bimbingan serta tunjuk ajar
beliau yang banyak memberi bimbingan dan suntikan motivasi sehingga dapat saya
menyudahkan tugasan ini. Tidak dilupakan juga rakan-rakan seperjuangan yang
tidak lokek untuk berkolaborasi dan sudi meluangkan masa untuk berbincang dan
berkongsi maklumat. Juga buat keluarga tersayang yang sentiasa memahami diri
saya yang ada kalanya sibuk dengan tugasan. Semoga kalian diberkati oleh Yang
Maha Esa.
BIBLIOGRAFI
Kamaruddin, K. (2007). Tekanan Kerja di Kalangan Guru
Sekolah Menengah. Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohamad, J. (2003). Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur:
Leeds Publications.
Mustafa, S. I. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan
Profesional. Puchong,Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Razali, M. F. (2010). Beban Tugas Guru Cahaya Menanti di
Hujung Terowong. Kuala Lumpur: Pendidik Sdn Bhd.
Razali, M. F. (2010). Tugas Rencam Bebankan Guru.
Kuala Lumpur: Pendidik Sdn Bhd.
Internet
http://mindamurabbi.blogspot.com/2012/09/beban-tugas-guru.html
http://www.nutp.org/new/ms/node/43
http://www.scribd.com/doc/163397547/Isu-Tekanan-Emosi-Guru-Akibat-Bebanan-Kerja
Laman Blog
http://ppgipgktbbm3.blogspot.com/